BIARLAH ‘ORANG TUA’ ITU MEMPERBETULKAN KESILAPAN MASA SILAMNYA



Ketika Dr. Mahathir memegang tampuk kuasa pada kali pertama pada tahun 1981, saya baru sahaja selesai persekolahan wajib selama 11 tahun.  Tiada banyak benda yang saya ambil tahu mengenai pergolakan politik ketika itu, hidup memang mudah! 

Dengan peningkatan usia dan memasuki dunia pekerjaan saya mula membaca dan mengambil tahu hal-hal yang berlaku dalam negara dan di luar negara.  Kemuncak dunia pekerjaan saya adalah menyertai stesen televisyen swasta yang pertama di negara kita,  sekitar awal tahun 90an.  Ketika itu stesen TV swasta yang pertama itu berada di kemuncak dan antara yang menjadi pilihan rakyat Malaysia.  Saya seperti rakan-rakan lain amat berbangga kerana bekerja di sebuah stesen TV swasta walaupun bidang pekerjaannya bukanlah bidang penyiaran mahupun selebriti.

Selepas beberapa tahun di stesen TV tersebut, krisis politik melanda negara dengan wujudnya Kem A dan Kem B dalam parti utama negara – UMNO.  Kemuncaknya adalah sekitar tahun 1998, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada semua jawatan politik dan kerajaan.  Pada ketika itu, saya merasa amat malu dengan tindakan dan kaedah laporan stesen TV yang saya anggap mengenepikan seluruh kewajaran dan etika kewartawanan yang saya ketahui.

Akhirnya, saya meninggalkan setesen TV swasta tersebut, untuk membuka perniagaan saya sendiri.  Ketika itu, negara dipimpin oleh tidak lain adalah Dr. Mahathir.  Walaupun pada hemat saya kesemua kemelut politik pada ketika itu berpunca daripada tindakan Dr. Mahathir, namun saya tidak sangat berasa kerana hidup yang tidak begitu sukar dengan ekonomi yang baik.

Pun begitu, tidak dinafikan bahawa ramai rakyat Malaysia yang tidak dapat melupakan ‘kezaliman’ Dr. Mahathir, sehingga beliau dilabel sebagai Mahazalim oleh seteru politiknya.  Perjalanan politik Dr. Mahathir menemui pengakhiran apabila dengan semangat negarawan meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Abdullah Badawi yang mesra dengan panggilan Pak Lah.

Selepas beberapa ketika Pak Lah memegang tampuk kuasa, sekali lagi Dr. Mahathir mendesak Pak Lah meletakkan jawatan selepas kekalahan memalukan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-12 pada 2008, malah Dr. Mahathir mengumumkan keluar dari UMNO.

Najib Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu mengambilalih tampuk kuasa pada 3 April 2009 sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. 

Dr. Mahathir adalah seorang yang mempunyai perwatakan dan peribadi yang sukar diterka.  Malah rakan-rakan dalam Pakatan Harapan yang ada pada hari ini adalah seteru politiknya sewaktu beliau berkuasa.  Mengikut sifir politik, Dr. Mahathir dikatakan telah membawa pelbagai kerosakan dalam sistem yang ada sekarang, namun apabila beliau bersetuju menyertai pakatan pembangkang demi menyelamatkan negara ianya adalah satu pengorbanan luar biasa bagi seorang berusia seperti beliau.

Pada usia 92 tahun, selepas 15 tahun meninggalkan kerusi Perdana Menteri, tentulah banyak yang diharapkan oleh rakyat demi Malaysia yang lebih baik.

Tentulah tidak adil untuk terus menghukum beliau yang khabarnya sudah insaf dan ingin memperbetulkan kesilapannya pada masa lalu.  Soal beliau ikhlas atau tidak, soal beliau mempunyai agenda peribadi atau tidak, adalah soal yang lain, namun usaha Dr. Mahathir dan rakan-rakan Pakatan Harapan menumbangkan kerajaan BN adalah sesuatu yang cukup luar biasa. 

Biarlah orang tua itu melaksanakan hasrat membina semula Malaysia untuk terus kekal dihormati oleh negara luar. 

Berilah peluang kepada beliau untuk membantu memulihkan maruah dan martabat negara tercinta ini.  Siapa sahaja yang tidak melakukan kesilapan.  Melakukan kesilapan dan memilih untuk memperbetulkannya adalah negarawan sejati.

Berilah peluang untuk orang tua itu memperbetulkan kesilapan masa silamnya, marilah kita berdoa supaya beliau diberikan kesihatan dan kemampuan untuk menerajui negara keluar dari kemelut pada masa ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?