SEJARAH TIDAK SELALU TERCIPTA!


SEJARAH TIDAK SELALU TERCIPTA!

Sejak tiga tahun yang lalu, banyak rutin saya berkisar pada perjalanan jarak jauh dan dekat bukan sahaja atas urusan kerja namun juga apa yang saya istilahkan sebagai “lawat kawasan”.  Kebanyakkan adalah ke kawasan yang jarang-jarang saya sampai hanya untuk melihat “hebatkan negaraku”.

Ketika mula-mula cukai GST di perkenalkan, pada April 2014, rata-rata rakyat Malaysia begitu terkesan dan terbeban.  Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) di bawah pimpinan Pak Dinsman, menyarankan supaya sebuah penerbitan dihasilkan untuk merakam denyut nadi rakyat.  Buku kecil “Derita Rakyat” sebenarnya adalah penerbitan sempena setahun tahun program Baca Puisi Madrasah Seni diadakan bermula Januari 2015.

PAKSI serius melihat keperitan dan derita rakyat menguliti kehidupan pada hari ini.  Kejatuhan harga getah, kenaikan harga tol antara bandar, kenaikan tambang pengangkutan awam, beban cukai barang dan perkhidmatan (GST), harga rumah yang melambung – kesemuanya dirakamkan dalam Derita Rakyat.

Maka itu apabila Barisan Nasional memilih tema Hidup Rakyat, saya hanya mampu tersenyum kerana telah lebih dahulu ‘makan garam’ dengan Derita Rakyat buah tangan PAKSI.

Apabila Parlimen dibubarkan pada 7 April 2018, dan diikuti dengan penamaan calon pada 28 April dan akhirnya seluruh rakyat Malaysia mengundi pada 9 Mei 2018, maka tema Hidup Rakyat laungan Barisan Nasional terus bergema, walaupun berdesing pada telinga saya mungkin juga ramai rakyat yang memendam rasa.

Seperti pada musim Pilihan Raya Umum setiap kali, saya cuba sedaya upaya melihat dan menjelajah lokasi-lokasi di luar ibu kota melihat sendiri kerancakan PRU yang ke-14.

Pada kali ini saya bermula dari Shah Alam, melalui Lebuh Raya Pantai Timur, singgah sebentar ke Temerloh dan menyusur untuk perjalanan ke Besut, sebelum pulang melalui laluan Jeli, Baling, Kepala Batas dan pulang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).   Banyak rakaman perjalanan dan percakapan mengenai apa yang diharapkan oleh rakyat.

Saya sempat menghadiri proses penamaan calon pada 28 April 2018 bertempat di Dewan Sivik, Petaling Jaya yang menampilkan pertandingan tiga  penjuru melibatkan calon BN, PAS, dan  PKR bagi Parlimen Petaling Jaya dan kawasan DUN di bawahnya.

Melihat kehadiran para penyokong BN, siapa pun tidak menyangkakan bahawa BN bakal melakar sejarah kecundang untuk membentuk Kerajaan pasca PRU ke-14.  Pelbagai peraturan ‘segera’ diperkenalkan untuk menyekat kemaraan pakatan pembangkang.  Memang peraturan boleh dirancang, namun kuasa Allah SWT mengatasi semua itu.  Misalnya, bagaimana muka Tun Dr. Mahathir digunting oleh petugas SPR kerana khabarnya melanggar peraturan pilihanraya.  Penggunaan gunting seperti juga penyapu dilihat sebagai sesuatu yang tidak manis dalam adab dan budaya orang Melayu, sehinggakan Datuk Seri Hishamuddin melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan kurang beradab ini secara terbuka.

Pilihanraya pada 9 Mei yang lalu seperti sangat dinanti-nantikan dengan tidak sabar oleh seluruh rakyat Malaysia, banyak kisah-kisah dipaparkan, antaranya adalah bagaimana seorang wanita Tionghua melatih ibunya seorang warga emas untuk memilih dan memangkah simbol parti yang betul!

Walaupun tiada insiden yang benar-benar menggugat perjalanan dan kelancaran PRU-14, namun menunggu keputusan PRU-14 sepanjang malam adalah sesuatu yang mendebarkan.  Tiada siapa yang boleh menyangka bahawa Pakatan Harapan mampu membuat anjakan walaupun tanpa rakan sekutu yang lain seperti PAS dan PSM.  Menjelang lewat tengah malam, Tun Dr. Mahathir mengumumkan bahawa PH memenangi PRU-14 dan berjaya merebut beberapa negeri.

Sejarah tercipta pada PRU-14 apabila parti pemerintah di bawah BN tidak mampu menggugah kemaraan dan aspirasi rakyat yang diterjemahkan melalui peti undi. Tawaran-tawaran menarik seperti menghapuskan GST dan Tol serta mengkaji semula kontrak yang diberikan kepada syarikat-syarikat dari China sangat terkesan kepada rakyat.

Sesi mengangkat sumpat dan penganugerahan watikah perlantikan sebagai Perdana Menteri yang ke-7 kepada Tun Dr. Mahathir tidak kurang debarnya bermula dari jam 9.30 pagi sehingga selesai majlisnya pada lebih kurang jam 10 malam.

Benarlah sejarah tidak selalu tercipta, menumbangkan sebuah parti yang berpaut pada kuasa selama enam dekad bukanlah sesuatu yang mudah, maka peliharalah sejarah untuk kekal terpahat dalam lipatan.  Tahniah Tun Dr. Mahathir dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

 Selamat Tinggal Barisan Nasional, Selamat Datang Pakatan Harapan!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
lama tak kelihatan, terbaik !!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?